Tuesday 5 February 2013

Rendah Hati (Tawadhu')

Semua akhlak yang dipraktikkan oleh Nabi bersumberkan daripada al-Qur’an. Akhlak ini telah membentuk karakter tersendiri dalam diri Nabi s.a.w. dan berpengaruh besar terhadap kehidupan sosialnya. Suatu saat Sayidah ‘Ā’isyah ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w., ‘Ā’isyah kembali bertanya kepada orang yang bertanya itu: Apakah kamu pernah membaca al-Qur’an? dijawab: “Pernah.” ‘Ā’isyah meneruskan jawabannya: “Akhlak Nabi adalah al-Qur’an.”

Apabila akhlak Nabi bersumberkan daripada ajaran Al-Qur’an, maka sifat rendah hati yang memancar dari rumah Nabi juga berasal daripada al-Qur’an. Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia akan menjauhkan rahmat dan tanda-tanda kekuasaan-Nya dari orang-orang yang sombong dan tidak mempunyai sifat rendah hati. Allah berfirman dalam surah al-A’rāf, 7: 146, yang ertinya: “Aku memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku.”

Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang sangat suka menderma, hatinya sangat lembut, dan peri lakunya sangat sopan. Beliau sangat ramah terhadap keluarganya. Orang yang baru mengenal akan merasa takut kerana kewibaannya, namun setelah sekian lama bersamanya dia akan mencintainya.

Sifat-sifat mulia tersebut sangat dirasakan oleh isteri-isteri Rasul dalam kehidupan mereka. Keadaan seperti ini, sudah semestinya sangat mempengaruhi kepribadian mereka, sehingga mereka sendiri juga menghiasakan diri mereka dengan akhlak-akhlak yang mulia tersebut, mereka terbiasa dengan sifat rendah hati dan tidak suka menyombong.

No comments:

Post a Comment